Thursday 20 April 2017

Perkongsian Sejarah Surau: Majlis Kesyukuran Surau Al-Ikhwan

Pada 22 Jamadil Awal = 16 April (Sabtu), Surau Al-Ikhwan dikerumuni penduduk di sekitar Seksyen 5 Bandar Baru Bangi untuk bersama-sama menyertai Majlis Kesyukuran yang diadakan di surau ini. Majlis kesyukuran ini diadakan kerana siap dan sempurnanya pembinaan surau berkenaan. Pada bulan Mei 2010, tempat surau itu ditandakan dan dimaklumkan bahawa sejak itu bangunan mula didirikan dan akhirnya siap pada bulan November 2010, iaitu sebelum hariraya Idul Adhha pada tahun tersebut dan sejak itu surau tersebut digunakan hingga kini. Ini hanya menandakan kegigihan AJK dan kerjasama penduduk dan penderma surau ini disiapkan dalam masa ENAM BULAN SAHAJA!






Malam kesyukuran ini dihadiri oleh Ustaz Haji Basri Omar iaitu Ketua Penolong Pengarah Pengurusan  Masjid di JAIS, Ustaz Qari bin Musa iaitu Pengerusi AJK Surau, Dr Rushdi bin Jusoh iaitu Pengerusi AJK Persatuan Penduduk dan para jemaah. Sebelum majlis dimulakan, waktu antara Maghrib dan Isya` diisi dengan tazkirah berhubung dengan masjid yang disampaikan oleh Ustaz Hazaruddin dari Jawi yang mana beliau juga sebagai pengajar di surau ini dua kali sebulan.   

        
Majlis Kesyukuran dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Surau Ustaz Qari yang mengucap terima kasih pada tetamu jemputan yang sudi hadir ke jemputan Majlis Kesyukuran. Beliau menggalurkan sejarah pembinaan Surau al Ikhwan dan bersyukur kerana berjaya mendapat dana dan membinanya dalam masa 6 bulan. Menurutnya surau disiapkan dengan kos RM380,000. Sebanyak RM50,000 didapati dari Lembaga Zakat Negeri Selangor. Selain dari tiu adalah dari derma orang ramai. Menurutnya ada Hamba Allah yang menderma secara perseorangan sebanyak RM100,000. Pada malam ini individu-individu yang menderma satu riba ke atas dijemput untuk menghadiri Majlis Kesyukuran. Pengerusi Persatuan Penduduk Dr. Rashdi memaklumkan bahawa AJK Surau dan AJK Persatuan Penduduk mempunyai hubungan yang rapat, termasuklah mencari derma bagi dana Surau dan memakmurkan Surau. Kata beliau, jamuan pada malam ini adalah dari peruntukan Persatuan Penduduk. 

            Tuan Haji Basari selaku Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid memaklumkan permohonan bagi mendiri masjid dan surau adalah meningkat, kita memang menggalakkan pertambahan masjid dan surau, katanya. Beliau juga menyebut jumlah Masjid yang melebihi 350 buah dan surau melebihi 1,600. Beliau berucap terakhir dengan menyatakan kesyukuran kepada Allah kerana surau telah dapat disiapkan dalam masa enam bulan dan memandangkan surau ini agak besar dan dapat memuatkan lebih kurang 300 orang, mungkin ini satu rekod bagi kecepatan pembinaan surau. Akhirnya beliau menyatakan harapan beliau untuk mengisikan surau dengan berbagai kegiatan keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan. Biarlah surau menjadi agen yang menyatupadu dan memajukan penduduk di sini. Pada akhir majlis jamuan diadakan di bawah khemah yang dipasang dihadapan surau.  

No comments:

Post a Comment

LOKASI DAN GAMBAR SURAU AL-IKHWAN

LOKASI SURAU AL-IKHWAN SEKSYEN 5 Surau Al-Ikhwan berada di Jalan 5c/5 Seksyen 5 Bandar Baru Bangi. Surau Al-Ikhwan terletak berhadapan de...